Budak Perempuan Itu







          Petang tadi, setelah hampir beberapa jam berada di dalam sebuah bilik  di hotel 
   yang aku menginap, tergerak hati untuk meninjau apa yang berlaku di luar 
  bilik. Menjenguk ke luar tingkap, tertarik dengan satu tubuh, empunya seorang 
   budak perempuan yang berdiri di bawah panas terik mentari sambil menjual kuih. 
   Ada juga kenderaan yang lalu lalang di situ berhenti membelinya.


Credit photo

Aku terfikir, inilah realiti kehidupan masyarakat sekarang yang ‘struggle’ untuk memperjuangkan kehidupan mereka bahkan aku pasti semua individu sedang memerah kudrat mereka untuk meneruskan kehidupan. Aku sempat membeli kuih darinya dan tidak melepaskan peluang untuk berbual dengannya. Rupanya, pagi dia bersekolah, petang pula menolong keluarganya menjual kuih. Hebat adik ini. Tetapi yang menjadi kerisauan aku ialah keselamatan seorang anak perempuan yang berseorangan di tengah-tengah panas barangkali dalam pemikiran dia hanyalah bagaimana untuk ‘survive’ dalam hidup dan semestinya aspek keselamatan yang terdedah dengan kes-kes jenayah penculikan dan sebagainya tidak diambil peduli sama sekali.
Ini baru satu peristiwa yang berlaku di depan mataku sendiri. Aku percaya banyak lagi dan bermacam-macam lagi akan berlaku. Biarpun di luar sana pelbagai krisis terjadi dalam pimpinan kita, namun kisah dan hikayat rakyat jua yang diperdagangkan akhirnya. Mungkin kita memandang enteng kepada perkara ini dan merasakan tidak perlu peduli kerana ianya bukanlah sebahagian dari kepentingan kita.
Justeru apakah penyelesaian yang sewajarnya kita laksanakan? Pada pengharapan siapa yang patut kita dambakan? Aku yakin bahawa kitalah jawapan kepada persoalan tersebut. Maka, bantulah apa yang mampu kita lakukan. Seringkali terdengar bahawa tangan di atas adalah lebih baik dari tangan di bawah. Bukankah begitu? Pengharapan kita yang tertinggi adalah kepada Allah. Maka berharaplah kepada-Nya untuk membantu kita membantu mereka yang memerlukan. Dan ingatlah kebaikan yang kita lakukan itu tidak lain tidak bukan untuk diri kita sendiri jua.
Dalam surah al-Israa’ ayat ke-7  difirmankan Allah, selari dengan konsep membina ummah terbilang dengan memperbanyakkan bantuan dan kebajikan kepada sesiapa sahaja.

Percayalah, apa yang aku tulis ini adalah realiti zaman sekarang, usah bermimpikan kehidupan yang indah jika saudara kita ada yang masih dalam kesusahan. Aku sudah cuba melakukannya. Bagaimana dengan kalian?


               Bro Acap
              Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments