Keadilan Milik Kita


Credit photo

Acapkali di media massa  terpapar permasalahan mengenai isu-isu ekonomi, politik dan sosial di negara ini. Adakah kita perlu mengambil tahu justeru cakna dengan masalah yang timbul ini? Atau tugas kita hanyalah belajar di universiti tanpa menghiraukan permasalahan yang ada?

Tidak mengapa. Kita masih mampu berpangku tangan kerana masih belum merasai tempiasnya. Sementara waktu yang tersisa ini, saya ingin mengajak semua sahabat untuk bersama-sama menyelusuri sedikit penghayatan mengenai keadilan sosial yang saban hari semakin kabur.

Keadilan adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Jika keadilan ini tidak dipelihara dengan baik, maka akan berlakulah kekacauaan dalam negara dan seterusnya menjadikan rakyat berpecah-belah serta porak-peranda.

Allah sendiri berfirman dengan jelas di dalam al-Quran, Surah al-A’raf ayat ke-29 :
Katakanlah: ‘ Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).’

Malah, diperkukuhkan lagi dengan ayat al-Quran yang lain, yakni firman Allah dalam ayat 135, Surah an-Nisa' yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum-kerabat kamu.’

Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa penguasaan keadilan ini tidak terbatas kepada sesetengah golongan sahaja, bahkan sebenarnya untuk segenap masyarakat yang ada tidak kira berlatar belakang apa sekalipun. Alangkah indahnya aturan Allah sebagai manual kehidupan kita.

Kebanyakan perkara seharian kita seringkali berkaitan rapat dengan keadilan sosial sebenarnya. Apakah yang dimaksudkan dengan keadilan sosial ini?

Ia adalah berkaitan dengan hak-hak setiap dari kita bermula dari sudut ekonomi, politik, kebebasan bersuara dan sebagainya. Inilah yang diberi penekanan dalam keadilan sosial ini. Logiknya, setiap dari kita wajar mendapat hak masing-masing tapi pada masa yang sama kita juga ada hak-hak lain yang perlu dipertanggungjawabkan untuk menggapai keadilan sosial yang paling baik. Inilah elemen asas yang perlu kita fahami sebelum bertindak ke arah memacu perubahan lanskap yang baru.

Jika perkara asas di atas disalah ertikan oleh kita, maka tidak hairanlah mengapa sehingga kini kita masih kurang berjaya mengecapi kecemerlangan dalam membina sebuah negara rahmah.

Sebagai sebuah negara yang kian maju di persada dunia, keadilan sosial tidak wajar dipandang enteng oleh setiap dari kita. Contohnya ialah pemimpin bertanggungjawab berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi hak-hak rakyat yang selayaknya. Manakala, rakyat pula menunaikan hak yang sepatutnya kepada pihak pemerintah. Jika pelaksanaan tanggungjawab ini tidak berlaku dalam keadaan dua hala, maka perkara buruk akan terjadi. Rakyat akan mula memberontak sedikit demi sedikit. Dan golongan pemerintah juga semakin hari akan terus menekan rakyat. Dan inilah realiti yang berlaku sekarang kesan dari kegagalan keadilan sosial.

Jika kita lihat dari konteks kehidupan masyarakat biasa pula, di antara si miskin dan si kaya, apakah kes yang kian meruncing dan mendapat perhatian masyarakat? Permasalahan ekonomi dan sosial bukan? Contohnya adalah kes-kes ragut, kecurian, rompakan( tidak kira terang-terangan atau sembunyi) serta banyak lagi. Si kaya yang merasakan dirinya berkuasa seringkali mengambil kesempatan kepada si miskin yang hidup dalam keadaan melarat. Sepatutnya si kaya itu sedar, bahawasanya hak si miskin ada di dalam kekayaan itu kerana bagaimana seseorang itu menjadi kaya adalah di atas pertolongan, bantuan serta khidmat si miskin tadi. Apabila perkara yang dituntut Tuhan tidak kita amalkan, maka golongan bawah akan tidak menghormati golongan atasan lagi.

Walhal, pada zaman dahulu di dalam sejarah Islam, sebuah kisah yang tersohor seringkali diletakkan sebagai panduan dan teladan, iaitu kisah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab yang banyak memberi bantuan kepada wanita-wanita yang tiada keluarga terdekat. Seringkali baginda sendiri yang turun padang melihat bagaimana keadaan rakyatnya. Kezuhudan baginda Umar al-Khattab ini wajar dicontohi oleh setiap pemimpin masa kini.
Usaha murni ini telah pun diaplikasikan dalam pemerintahan sekarang. Tetapi entah mengapa, masih ada hak rakyat yang masih tidak terbela. Mungkinkah berlaku ketirisan dalam kewangan atau kurangnya dedikasi para pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja? Ayuh, refleksi diri kita. Kerana kita juga sebahagian dari kelompok seperti di atas ini.

Negara Malaysia telah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Jadi, saya menyeru diri saya serta pembaca semua untuk melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu diambil tindakan kerana keadilan perlu ditegakkan untuk meneracu ke arah sebuah negara rahmah.


 Miss Azha
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments