Saiaa Taa Kuad


Credit photo

Tuhan... Aku takut untuk kembali kepadaMu!

Apakah perlu untuk kita merasa takut jika dikembalikan kepada Sang Pencipta?

Atau....

Kita harus merasa gembira jika Sang Pencipta memanggil kita untuk menghadapNYA?

Bait-bait persoalan sedemikian seringkali menghantui kita. Kalau hendak berpegang dengan persoalan yang pertama, masakan kita tidak ingin bertemu Sang Khaliq yang menjadi idaman setiap mukmin bahkan ganjaran yang terbesar jika dapat bertemu denganNYA di akhirat kelak.

            Namun, jikalau hendak melahirkan rasa gembira itu, igauan dosa-dosa yang menggunung acapkali menghantui diri. Merasakan diri tidak layak dek banyaknya dosa yang telah kita lakukan dan merasakan kita belum bersedia untuk bertemu denganNYA.

            Nah!

Apa pilihan yang kita ada?

            Berhenti dari beramal atau beramal tanpa henti?

            Setiap persoalan ini ada jawapannya. Masakan Tuhan yang menciptakan kita akan biarkan kita dalam kehidupan yang sia-sia. Masakan Tuhan kita akan abaikan kita jika DIA miliki sifat Al-Ghafur. Sungguh, tidak diciptakan setiap anak Adam itu dalam keadaan sia-sia. Nyamuk yang sering kita marah itupun ada hikmah penciptaannya.


“Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!”.  (Al-Qiyamah: 2)


Nafsul Lawwaamah didefinisikan sebagai suara hati yang menyesali diri dan menyesal atas sesuatu keterlanjuran. Kalau keburukan, ia akan mencela kenapa dilakukan. Sebaliknya kalau kebajikan atau kebaikan ia akan mencela kenapa tidak diperbanyak atau ditambah lagi1.

Melalui ayat ini, Allah SWT menginginkan setiap daripada kita untuk senantiasa perbaiki diri. Dari kurang baik kepada baik. Dari baik kepada lebih baik. Dari lebih baik kepada yang terbaik. Sentiasa majukan diri dalam setiap amal perbuatan yang kita laksanakan. Abaikan cakap-cakap orang terhadap kita kerna itulah mehnah dalam berjuang untuk ke arah kebaikan.

Dan ayat ini juga menegaskan kepada kita, bahawasanya ianya adalah suatu kemestian kepada kita untuk memanfaatkan dengan sehabis baik ‘nafsul lawwaamah’ ini. Dan selayaknya Syurga itu bagi mereka-mereka yang berusaha untuk memasukinya. Dan jangan khuatir, kerna syurga itu luas. Masih menanti siapakah yang ingin dan berhak memasukinya.

Moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang dipilih untuk bertemu dengan DIA di akhirat kelak.

"Takut kepada Allah dan harapan umpama sepasang sayap, kita memerlukan kedua-duanya untuk terbang" - Imam Maturidi



Bro E.P
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Rujukan:
1. Tafsir Al-Munir (Juz 29) karangan Dr. Wahbah Al-Zuhaily



Comments