Flashback

Credit photo



Cantik pemandangan tasik UTM ni,
Pondok di tengah-tengah tasik menjadi tumpuan manusia mencari ketenangan,
hijau warna air tasik, diikuti itik-itik yang menemani kesepian,
Dihias dengan aturan pokok-pokok yang unik,
Teduh memberikan perlindungan kepada sesiapa yang berada berhampirannya,
Seolah-olah alam ini ingin menyampaikan suatu mesej,
Ya..sangat penting..

Lembut angin meniup rambut..
Selama 4 tahun berada di UTM, baru sekarang tergerak datang ke tasik duduk seorang diri.
Kerana pemandangan inilah pada asalnya aku memilih UTM.
Mudahnya aku memilih UTM, bukan kerana hebat sistem pembelajarannya, bukan juga kerana teknologinya,  tapi hanya sekadar pemandangan yang menjadi kayu ukur.
cetek sungguh pemikiran ketika itu.


Namun aku bersyukur kerana di bumi UTM inilah aku mula mengenal erti kehidupan..
Mungkin itulah hikmah ditakdirkan aku menjejaki tempat indah ini,
…………(bunyi tiupan angin)
Jauh di suatu pondok seberang tasik, kelihatan seorang pemuda tekun membaca buku sendirian,
Lalu aku perhati dari jauh perbuatannya, takut-takut orang hampir dengannya,
Aku tergelak kecil, perbuatannya mengingatkan aku tentang diriku yang dulu,
begitu cepat masa berlalu.


Aku pejamkan mata ----

Sebagai permulaan, ingin aku perkenalkan diri dahulu,
Aku seorang manusia, yang diwujudkan pasti ada tujuannya,
Aku bukanlah seorang yang hebat, malah hingga kini aku merasa jauh dengan perkataan hebat itu.


Aku hanyalah orang yang pentingkan diri, tak tahu bergaul, bijak dan alim jauh sekali, manakan tidak, baca al-quran pun merangkak-rangkak.


Teringat suatu ketika disuruh membaca Al Quran, teragak-agak menyebut perkataan demi perkataan, sehingga kawan sekelas menyuruh ku berhenti dan biar mereka yang menyambung muka surat yang seterusnya.


Pedih yang teramat pabila diperlakukan sebegitu, seolah tiada harga pada diriku,
Betapa jauhnya aku dengan diriNya jika mesej-mesej yang diungkap oleh Pencipta kita tidak dapat dibaca apatah lagi difahami.


Dan ketika itu aku terus hanyut dengan hari-hari seterusnya tanpa menyedari tujuan aku dibenarkan wujud di atas muka bumi ini,
Dan ia berterusan hingga membuka lubang kekosongan yang besar dalam hati, dalam keadaan tidak sedar banyak perkara yang aku lakukan semuanya  ada saja yang tidak kena,

Hingga tiba di suatu hari, aku digerakkan untuk mengambil al quran buat pertama kalinya setelah sekian lama (kali terakhir darjah enam).


Aku duduk di suatu sudut hujung surau kerana takut orang mendengar bacaanku yang tergagap-gagap,
Lalu aku membuka muka surat pertama iaitu surah Al-fatihah,terkandung 7 ayat,

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

"Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang".


"Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam".
"Maha Pemurah lagi Maha Penyayang".
"Yang menguasai di Hari Pembalasan".
"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan".
"Tunjukilah kami jalan yang lurus",
"(yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat".

Aku membaca pada mulanya tanpa melihat terjemahannya, setelah selesai aku cuba untuk membaca terjemahannya,
Aku melihat satu persatu maksudnya hinggalah sampai ke ayat “"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan", air mataku bergenang dan terus menitis.


Betapa jauhnya diri ini dariMu Ya Allah, di mana aku meletakkan Kau dalam hidupku sebelum ini, Ya Allah, sedangkan Kau tidak pernah menghukum diriku atas dosa yang terlalu banyak sebelum ini, sehingga aku merasakan kekosongan yang teramat sangat dalam kejahilanku, Kau hadirkan dengan kasih sayangMu untuk aku membuka kitab agung mu ini,
Ya, sepanjang hidupku yang lepas, terlalu banyak kesenangan, nikmat, yang Allah beri hingga aku tidak merasa susah.

Tapi, tidak sedikitpun aku mengadu kesyukuran, malah tiada langsung rasa untuk mengingatiNya dalam setiap perbuatan yang dilakukan,

Teringat kalimah yang tiap kali dibaca ketika solat,


Solatku,ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah,

Aduh, solatku hanyalah pergerakan tubuh yang sekadar melaksanakannya,
ibadah, layakkah aku menggelarkan diriku abid sekiranya arahannya pun banyak yang aku lalaikan,
hidup, sepanjang hidupku, adakah aku sedar bahawa Dia benar-benar Tuhan yang agung yang mengatur takdir hidupku, adakah aku sedar tujuan aku dihidupkan,
mati, Allahu, jika aku mati, sungguh aku takut dengan kesudahannya dengan diri aku yang sekarang,
 
……………….(buka mata)


Kini aku dikelilingi sahabat yang sentiasa mengingatkan aku kepadaNya,
yang ingin sama-sama berubah untuk mencapai redhaNya,
Ya,itulah tujuan sebenar, redhaNya..mudah dikatakan tapi sejauh mana hati kita bersetuju yang kita sentiasa berusaha ke arah itu,
peristiwa lalu menjadi memori yang kuat terpahat di hati sentiasa mengingatkan siapa diriku.


Mungkin kini aku boleh membaca al quran dengan lancar dan tiada yang memerliku, tapi hakikatnya aku masih lemah,
ya kerana penghayatan yang berbeza dan tidak sekuat perasaan ketika aku mula-mula membuka surah al fatihah itu, waa aku rindu saat di mana tangisan ikhlas itu mengalir,
aku masih jauh.

Setiap penciptaan itu mempunyai tujuan, tiada yang sia-sia,
maka carilah tujuan itu, sedarlah dari bisikan yang menghanyutkan ,
Tiada istilah terlewat dalam kembali mencari diri dan redhaNya,
kerana kasih sayangNya jauh lebih besar daripada kemurkaaNya..





NBD
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments