Keadilan Dalam Islam





Credit photo


Bagaimana pula kata Islam tentang konsep KEADILAN?

Adil menurut Bahasa Arab disebut dengan kata ‘adilun, yang berarti sama dengan seimbang. Menurut Al Ghazali adil adalah keseimbangan antara sesuatu yang lebih dan yang kurang. Manakala, menurut Ibnu Miskawaih keadilan adalah memberikan sesuatu yang semestinya kepada orang yang berhak terhadap sesuatu itu.

            Allah berfirman dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pengajaran”. (QS An-Nahl [16]: 90)

            Allah berfirman dalam Al-Quran: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-sekali kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Maidah [5]: 8)

            Nas-nas di atas menunjukkan bahawa penegakkan keadilan merupakan gagasan atau pillar penting dalam ajaran Islam. Sebaliknya, al-Quran mengecam orang-orang yang berlaku zalim. Menurut Thabathaba’iy, hampir dua pertiga surah dalam al-Quran membicarakan masalah-masalah tentang kezaliman. Dalam hadis pun tidak terhintung kecaman yang dialamatkan kepada orang yang berbuat zalim.

Rasulullah SAW bersabda:
“Takutlah berbuat zalim kerana sesungguhnya ia mendatangkan kegelapan-kegelapan di hari Kiamat.” (HR. Muslim)

            Berbanding dengan konsep keadilan dari kaca mata ahli falsafah barat, konsep keadilan yang dibawa dalam Islam bersifat lebih syumul, yakni lengkap dan menyeluruh. Keadilan dalam Islam bukan sekadar melihat kepada hasil akhir sesuatu perbuatan mahupun hanya melihat pada tanggungjwab atau tugasan pada ketika itu.

            Pengertian tentang hakikat Keadilian dalam Islam sekurang-kurangnya terbahagi tiga yang utama; Adil dalam Erti Sama (al-Musawat), Adil dalam Erti Keseimbangan (at-Tawazun) dan Adil dalam pengertian “Perhatian Terhadap Hak-Hak Individu dan Memberikan Hak-Hak Itu kepada Setiap Pemiliknya.”

1.       Adil dalam 'Erti Sama' bermaksud tindakan atau perlakuan yang sama atau tidak membeza-bezakan antara satu dengan yang lain; mencakupi persamaan hak perlindungan atas kekerasan, kesempatan dalam mendapatkan pendidikan, peluang dalam mendapatkan kekuasaan, memperoleh pendapatan dan juga peluang dalam mendapatkan kemakmuran dan keamanan. Selain itu, persamaan dalam hak, yakni kedudukan dalam kadilan mahkamah tanpa mengira warna kulit, kelompok, kedudukan/jabatan, kerabat, kaya atau miskin, orang yang disukai atau dibenci hatta terhadap musuh sekalipun.

 “Apabila kamu memutuskan perkara di antara manusia, maka hendaklah engkau memutuskannya dengan adil.” (QS. An-Nisa [4]: 58).

Allah SWT memerintahkan kepada kita agar berlaku adil, sekalipun terhadapa komuniti atau golongan non- muslim ataupun kaum yang kita musuhi, sebagaimana dalam firman-Nya:
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kami menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Qs. Al Maidah: 8)

2.      Adil dalam 'Erti Keseimbangan', keseimbangan di sini bukan sekadar bermaksud seimbang dari segi quantitative, tetapi lebih kepada proporsional dan profesional. Di sini, keadilan lebih identiti kepada maksud kesesuaian, dan bukannya lawan kepada kata kezaliman, yakni kesesuaian antara ukuran, kadar dan waktu. Ia ditetapkan apabila keadaan memang mengkehendaki sedemikian. Adil dalam pengertian ini merupakan hakikat yang penting dalam keadilan. Namun, janganlah diambil secara literal, contohnya pembahagian harta atau duit kepada semua rakyat mestilah sama rata. Yang paling penting adalah peluang atau kesempatan diberikan kepada semua rakyat dengan jumlah yang sama rata, dan hasil perolehannya masih tertakluk kepada usaha masing-masing. (soal perbahagian harta oleh kerajaan kepada rakyat kita sembang di makalah yang lain.)

Termasuk dalam pembicaraan ini adalah keseimbangan antara pembangunan material dan spiritual, keseimbangan antara zikir dan fikir, dan bersederhana dalam menggunaan harta, yakni tidak terlalu kikir dan juga tidak terlalu boros. Insan yang berjaya menyeimbangkan antara fikir dan zikir tersebut sebagai orang-orang yang berakal sebagaimana disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran seperti berikut:

            “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambal berdiri atau duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikrikan tentang penciptaan langit dan bumi” (Qs. Ali Imran: 190-191)

Lihat sahaja tentang bagaimana al-Quran membeza-bezakan hak waris dan persaksian antara lelaki dan perempuan. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

3.      Adil dalam pengertian “Perhatian Terhadap Hak-Hak Individu dan Memberikan Hak-Hak Itu kepada Setiap Pemiliknya” pula didefinasikan dengan “meletakkan sesuatu pada tempatnya” (wadh al-syai’fi mahallihi) atau memberikan pihak lain haknya melalui jalan yang terdekat”. Lawan kepada definasi ini pula adalah “kezaliman” iaitu menempatkan sesuatu tidak pada tempatnya (wadh’ al-syai’fi ghairi mahallihi). Contohnya paling mudah adalah, apabila kita memakai sepatu atau selipar ‘crocs’ di kaki, maka itulah namanya keadilan tetapi apabila kita memakai ‘crocs’ tersebut di atas kepala maka itulah kezaliman yang nyata. Pengertian keadilan seperti ini, melahirkan keadilan sosial (akan dibincangkan di makalah seterusnya) di mana setiap muslim terutamanya pemimpinnya wajib menegakkannya.

Setiap makhluk yang bergelar manusia sudah tentu mempunyai hak untuk memiliki atau melakukan sesuatu, kerana itu hak-hak tersebut mestilah diberikan perhatian dan dilindungi serta dipenuhi sebaik-baiknya. Hak-hak manusia seperti hak untuk hidup, hak untuk memiliki sesuatu, hak untuk belajar, berkerja, mendapatkan ubat, kelayakan hidup dan hak untuk mendapatkan jaminan keselamtan dan keamanan. Kesemua itu harus diberikan kesempatan yang sama kepada setiap orang.

Kerana itu, dalam Islam seseorang tidak dibernarkan sama sekali untuk melakukan pembunuhan tanpa sebab dan alasan yang benar-benar kukuh kerana perbuatan tersebut telah merampas hak untuk hidup orang lain. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar dan barangsiapa dibunuh secara zalim, Maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.” (Qs. Al-Isra/17: 33)

Islam juga melarang sekerasnya untuk memakan harta orang lain seperi mencuri, menipu dan sebagainya, hal ini demikian kerana perbuatan tersebut bererti mengambil hak-hak orang lain. Begitu juga dengan perampasan hak orang lain seperti pengurangan dalam timbangan. Sama juga dalam konteks kekeluargaan, lelaki yang ingin berkahwin lebih dari satu mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya, kalau tidak mampu, cukuplah hanya seorang. Serta ibu bapa dituntut untuk berlaku adil terhadap anak-anak mereka.

Akhir sekali, kedamaian di dunia ini hanya bisa tertegak dengan al-Quran dan telah mewajibkan seluruh umat manusia untuk berbuat keadilan dan mengharamkan sebarang jenis kezaliman yang sewenang-wenangnya. Maka dengan al-Quran manusia akan menjauhi tindakan-tindakan kezaliman kerana rasa takutnya kepada murka Allah di dunia dan di akhirat, di samping untuk mengharapkan balasan atau ganjaran dunia akhirat.
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil.” (Qs. Al-Maidah: 8)
Khalas.


Muhammad Ameruddin Che Ibrahim
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments