HERO INSIDES ME








“Am, kau dah besar nak jadi apa?”

Aku paling wajahku menghadap dia, laju. Terkejut dengan soalan cepumas yang dia ajukan. Tengah mengeteh malam-malam dekat Restoran Che Mek, soalan itu yang dia ajukan. Macam tak ada kena mengena dengan kuey tiaw kungfu yang aku order tadi. Aku diam, berfikir.

“Ermmm, jadi engineer la.” Kata aku acuh tak acuh. Memang aku malas nak fikir panjang apa yang aku nak jadi nanti sebab sudah terang lagi bersuluh jurusan yang aku amik sekarang ada kena-mengena dengan bidang kejuruteraan, jadi aku memang akan jadi jurutera kan? Atau tak?

Dia senyum

“Aku nak jadi hero.” Hampir tersembur teh tarik ais yang aku hirup tadi apabila mendengar jawapan si dia. Aku bagi pandangan tajam minta penjelasan.

“Hero untuk ummah.” Dia senyum lagi seraya menyambung makan mee goreng basah meninggalkan aku yang masih sentap dengar jawapan dia.

Siapa yang tidak mahu menjadi hero?  Untuk menjadi hero, seseorang perlu ada kekuatan dan kelebihan. Kekuatan dan kelebihan ini haruslah berbeza dengan manusia lain atau erti kata lain istimewa. Andai kata seorang hero tiada istimewanya, apa beza hero dan manusia biasa? Dengan keistimewaan yang hero miliki, dia harus menolong manusia lain yang tidak punya kuasa sepertinya. Persoalan seterusnya, adakah kita hero itu? Hero yang punya kuasa yang punya hati untuk membantu mereka yang meminta simpati.

Kita tidak perlu memiliki sejumlah harta untuk menjadi hero seperti Ironman. Kita juga tidak perlu menjadi seperti Batman yang mana ruang jasanya hanya di Bandar Gotham. Kita juga tidak perlu menjadi seperti Spiderman, yang mana kuasa heronya terhad pada seekor serangga. Kita adalah kita. Kita adalah hero kepada diri sendiri dan kepada dunia. Tidak perlu menjadi sesiapa untuk menjadi seorang hero. Kita ada kuasa kita sendiri, samada kita sedar atau kita masih dibuai keindahan dunia sehingga kelebihan ini tenggelam jauh di dasar diri.




“Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mau memberikan rezeki mereka kepada hamba-hamba  yang mereka miliki, agar mereka sama (merasakan) rezeki itu. Maka mengapa mereka mengingkari nikmat Allah?”
- An-Nahl:71


Kelebihan ini adalah rezeki. Siapa kata rezeki hanya terhad pada wang dan harta? Rezeki adalah semuanya termasuklah kelebihan kita. Kelebihan apa yang kau damba dan kelebihan apa yang tuhan sudah kurnia. Selalu kita rasa, kita tiada lebihnya berbanding orang lain. Cemburu melihat orang yang dilebihkan dengan kelebihan. Setiap manusia ada kelebihan tersendiri, sama ada kelebihan tersebut sudah diketahui atau masih tersimpan rapi. Seseorang yang memandang tinggi orang lain akan lupa pada diri sendiri sedangkan diri sendiri ini punya kelebihan yang lebih dari orang lain.

Ironinya, kita akan terus rasa diri ni zero sedangkan kita juga hero. Setiap daripada kita mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk menjadi seorang hero tapi perlu cermin diri lihat ke dalam hati apa yang kau mampu buat untuk kau bergelar hero. Masih ada harapan untuk kau menjadi seorang hero, tapi hero seperti apa?

Jawapan aku hero untuk ummah.


“Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: “Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedang mereka tidak menyedari.”
- An-Naml:18


Untuk menjadi hero kau tidak perlu menjadi sesiapa, cukup menjadi dirimu sendiri. Dalam surah An-Naml ayat ke-18 ada menerangkan bagaimana seekor semut yang tidak dinyatakan secara spesifik jenis dan spesisnya, menyeru masyarakat semut lain untuk menyelamatkan diri dari dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya. Semut yang dinyatakan adalah hero. Apa spesisifikasi semut tersebut? Tidak dinyatakan, yang ada hanyalah keberanian. Allah merahsiakan identiti semut tersebut kerana untuk menyelamat kau tidak perlu menjadi siapa-siapa. Tiada manusia yang spesisfik yang diamanah untuk melakukan tugas penyeruan kearah kebaikan. Semua mampu menjadi hero, tapi bersediakah kita? Bersediakah kita untuk terbang menyelamat manusia.

Kembali kepada semut hero yang diceritakan dalam surah An-Naml tadi. Sewaktu tentera Sulaiman berarak ke arah mereka, tiada seekor semua yang sedar akan kehadiran tentera sulaiman kecuali seekor semut yang bertindak sebagai hero. Semut ini tanpa ragu, segera mengarahkan semut lain beredar sebelum dipijak tentera Sulaiman yang tidak menyedari kehadiran mereka. Sifat cakna semut hero ini telah menyelamatkan sebuah komuniti semut. Andai sahaja semut hero ini lalai bersama ahli semut yang lain, mungkin dengan izin Allah tiada semut yang terselamat. Kalau kita rasa kita sudah faham, sebarkan kefahaman ini, selamatkan yang lain. Kalu kita rasa kita sudah sedar, sedarkan yang tidur, bangkitkan pemuda. Kerana kita adalah semut itu, yang akan menjadi hero kepada komuniti masyarakat kita.

Siapa sahaja boleh menjadi hero, kerana kuasa hero sudah ada dalam diri kita menuggu kita sedar dan bersedia menggunakannya. Jangan malu dengan diri sendiri, sebab kita ada hero tersendiri. Bangkitkan hero insides me!




Ukhti A.
Aktivis IKRAM Siswa UTM






Comments