RAMADHAN KU..  


Credit: Google Image

Dulu, Ramadhan bagi ku cukup hanya dengan puasa, tidak makan dan tidak minum dari waktu fajar sehingga maghrib, tarawikh dan setelah hampir saja Ramadhan berlalu, persiapan Syawal dilakukan. Bagiku, Syawal adalah kemuncak segala-galanya. Seolah-olah membebaskan nafsu yang sudah sebulan terbelenggu. Namun, Ramadhan tidak membawa erti apa-apa untuk aku. Walaupun saat itu, mungkin aku berkejar-kejar menghabiskan satu naskhah Al-quran, tarawikh kadang-kadang sampai 21 rakaat namun ianya cukup di situ sebagai tradisi bila tiba Ramadhan. Tidak tahu kenapa aku perlu buat. Seronoknya Ramadhan hanya bila segala juadah banyak di jual di bazar, segala jenis lauk pauk, kuih muih dilahap sampai kenyang ketika berbuka. Itulah makna Ramadhan bagiku. Kosong.

Tahun berganti tahun.

Aku dikenalkan dengan tarbiyah. Dia mengubah sudut pandanganku terhadap Islam secara total. Ramadhan bukan lagi ‘tuhan’ kerana aku sudah mengenali Tuhan yakni Allah yang sentiasa ada membatasi ruang waktu. Dialah Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang yang telah menganugerahkan Ramadhan untuk umat Nabi Muhammad saw. Memberi peluang untuk hambaNya beramal dengan ganjaran yang berlipat ganda. Segalanya kerana rahmat dan kasih sayangNya.

Namun, ia tidak terhenti di situ. Ramadhan lebih dari itu. Satu bulan yang disyariatkan kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa adalah kerana meraikan turunnya mukjizat teragung Rasulullah saw. Ya, Al-Quran yang diturunkan dalam bulan tersebut. Mulianya Ramadhan kerana Al-Quran. Tiga puluh hari yang istimewa sehingga doa-doa kita saat itu dibalas direct oleh Allah. Sehingga setiap amalan sunat diganjari sebesar amalan fardhu dan sebagainya.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (QS. Al-Baqarah: 186)

Lalu, aku rangkumkan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Oleh itu, signifikan sekali untuk kita lebih dekat dengan Al-Quran. Mungkin boleh kata inilah masa yang paling sesuai untuk kita memperbaiki hubungan kita dengan Al-Quran. "the more you connected to Al Quran, the more you connected to Allah". Simple. Kerana seluruh isinya adalah bait-bait dari Allah yang diturunkan untuk kita, bukan orang lain. Sehingga satu masa kita boleh mempraktikkan keseluruhan Al-Quran seperti Rasulullah saw.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah saw. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi saw adalah Al-Quran." (HR Muslim).

Tidak cukup dengan itu. Bonus besar yang Allah hadiahkan untuk kita umat Nabi Muhammad saw adalah satu malam kemuliaan yang lebih baik dari seribu bulan di mana semua malaikat juga Jibril turun memenuhi pelosok bumi. Lailatul Qadr. Subhanallah! Seperti beramal baik seumur hidup.

Namun, yang paling harus kita fahami adalah Ramadhan hanya satu booster untuk kita memperbaiki diri dan amalan untuk mencari keredhaan Allah. Kerana akhirnya yang kita inginkan bukanlah keredhaan Ramadhan tetapi redha Allah tu sendiri. Beberapa pesanan untuk diriku dan sahabat, persiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan supaya kita tidak lelah di tengan jalan, dan beramallah selagi nyawa dikandung badan dan bukan hanya beramal dalam bulan Ramadhan. Beramallah dan kekalkan momentum beribadah walaupun Ramadhan sudah berlalu. Akhir sekali, berhubunganlah dengan Al-Quran seakrab mungkin kerana di situ letaknya keakraban kita dan Tuhan. Selamat menyambut Ramadhan, brothers and sisters!

Apa makna Ramadhan pada kalian?

NIZ
Aktivis IKRAM Siswa UTM






Comments