SAHABAT

Credit: Google Images


Pemandangan yang cantik!

Di waktu asar, redup rimbunan pohon dihiasi daun-daun kering berselerak, macam di "oversea" dengan tasik yang tenang memukau para pengunjung yang datang ke sini, inilah tempat kegemaranku untuk menenangkan diri.. Tasik Ilmu UTM, aku tidak percaya sungguh cepat waktu berlalu.. Sudah 4 tahun 5 bulan aku telah berada di UTM, dan kini aku akan meninggalkannya.. Mungkin buat selama-lamanya...

Di saat melihat keindahan tersebut, aku tersenyum keseorangan......

Aku teringat wajah insan-insan yang hadir dan pergi sepanjang aku berada di sini.. Tanpa mereka, sudah tentu aku bukanlah aku yang kini.. Segala bimbingan, tunjuk ajar, aktiviti sukan, makan, mengembara, ziarah, camping, macam-macam lagi telah banyak mengajar aku erti kehidupan dan indahnya jalinan ukhuwah.. 

Aku termenung sejenak, kemudian aku ternampak seorang anak kecil dimarahi ayahnya kerana melakukan kesalahan.
Anak kecil itu menangis meronta-ronta memegang kaki ayahnya.. Aku tersenyum lagi, aku teringat akan gambaran personaliti diriku yang dahulu..

Aku bukanlah dari kalangan mereka yang baik-baik, sejak mula aku menginjak kaki di bumi UTM ni, aku seolah-olah berada dalam keadaan yang gelap.. tiada hala tuju, dan banyak perkara yang aku ingin cuba tidak kira baik mahupun buruk..

Tapi Alhamdulillah, tuhan telah mempertemukan aku dengan mereka, sahabat yang membimbingku ke suatu jalan yang aku kira sangat berbeza dengan jalan-jalan yang telah aku lalui sebelum ini.. dan hingga kini aku bersyukur kerana ditakdirkan bertemu insan dan sahabat yang sebegini..

Di jalan ini, aku mengenali mengapa diriku dicipta,
Di jalan ini, aku belajar erti menghargai nilai persahabatan,
Di jalan ini, aku belajar tentang keindahan kehidupan yang sebenar,
Di jalan ini, dan yang paling penting, adalah aku mengenal siapa penciptaku, tempat aku mengadu, tempat aku bergantung, tempat aku bersujud merintih akan dosaku yang lalu..

Aku kemudian memejamkan mata, menarik nafas lega, dan kemudian tersenyum lagi.. terbayang wajah seseorang yang banyak memberiku kata-kata semangat..

Ada suatu ketika dahulu semasa aku di tahun 3 pengajian, aku seorang yang kuat belajar, walaupun sudah bersedia awal tapi aku tidak merasakan cukup akan kefahaman yang aku miliki, dan satu hari aku perlu menghadiri perjumpaan usrah, yang lebih dikenali sebagai bulatan gembira.. tetapi lusanya aku akan mengahadapi ujian (test) Matematik.. berat rasa diri untuk hadir usrah tersebut malam itu, dan aku memberi alasan untuk belajar disebabkan ujian walhal aku sudah belajar awal dan masih ade tempoh untuk belajar keesokan harinya, lalu sahabat ini bergurau kepadaku, "BOLEH KE KAU FOKUS BELAJAR DI SINI DI DEPAN LAPTOP NI WALHAL DI WAKTU YANG SAMA KAMI BERSUNGGUH-SUNGGUH BERBINCANG MENCARI-CARI JALAN MENUJU REDHA ALLAH?"maka aku tersentap seketika, walaupun ianya satu gurauan tetapi kata-kata itu memberi kesan yang besar buat diriku.. aku memikirkan kata-kata tersebut selama setengah jam, dan kemudian aku bergegas untuk menyertai mereka..

Ada juga seorang sahabatku ini yang tidak pernah megeluh dan tidak pernah meminta pertolongan daripada orang sekelilingnya, setiap kali aku minta pertolongannya , ambik di airport, beli makanan, buat itu dan ini, dia tidak pernah menolak, dan daripada sikapnya itulah aku belajar erti hidup supaya tidak mementingkan diri, sungguh, banyak yang aku pelajari dari dirinya tentang hidup bersahabat..

Dan ada juga ketika berkelah, di pantai di sebuah pulau, seniorku bercerita tentang alam, dan dia akhiri dengan perumpamaan yang sangat menyentuh kalbuku..

"Lihatlah laut yang luas terbentang ini, jika kau celup dengan jarimu itu, maka air yg masih berada di jarimu itu adalah dunia, dan laut yang tidak kelihatan penghujungnya itu adalah syurga, maka pilih lah bagi diri kamu akan kebahagiaan yang sebenar"

Aku terdiam mendengar kata-kata tersebut, ia masih segar di ingatanku dan menjadi semangat untukku meneruskan usaha mencapai matlamat sebenar yakni syurgaNya..

Dan ada ketika aku sangat letih, memegang tanggungjawab yang besar, disertai kerja yang sangat banyak, ditambah pula dengan akademik..maka aku merasa sangat lemah, dan kemudian ada sahabat yang membisikkan kepadaku, sebuah hadith riwayat muslim:

"Di hari akhirat kelak, Allah akan mengambil seorang manusia yang hidupnya di dunia tidak pernah merasa kesenangan, kemudian dia dicelupkan di dalam syurga, dan ditanya kepada adakah kamu pernah merasakan kesusahan sebelum ini, dia menjawab sungguh aku tidak pernah menghadapi kesusahan walau sedikitpun...."

Maka mataku bergenang memikirkan realiti kehidupan di dunia ini hanyalah sebentar, dan sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti disertai kesenangan,..

Aku menarik nafas lega.. kini sudah tiba masanya aku pulang ke bilik, bersedia untuk solat maghrib.. Di dalam perjalanan, aku tidak henti-henti bersyukur kerana dipertemukan dengan sahabat-sahabat sebegini..

Maka dikesempatan ini, aku ingin meluahkan rasa yang lama terbuku di hati

Sahabat, 
Kau sentiasa berada disisiku di kala duka,
Biarpun tidak ku sedar, kau mendoakanku di dalam rahsia, 
Kau memberiku memori yang bahagia, 
Untukku simpan selama-lamanya

Sahabat,
Aku menyedari keberadaanku terkadang membuatmu duka, 
Pergaulanku memberi bisa,
Tapi kau tidak pernah pergi meninggalkanku begitu saja,
Tapi kau bimbing hingga aku bertemu dengan jalanNya..

Maafkan diriku wahai sahabat, 
Aku hanyalah manusia yang ingin berubah,
Tidak terkecuali daripada lalai dan rebah,
Sekali lagi maafkan diriku wahai sahabat,
Kerana aku tidak lagi bersama-sama dalam kisah perjuangan di UTM, 
Dan aku tidak lagi akan bersama-sama denganmu di hari-hari yang mendatang, tapi inshaAllah, ku iringi hari-hariku dengan doa untukmu, 
Maka izinkanku wahai Tuhan Yang Esa, untuk bertemu dengan mereka di syurga kelak, di mana tiada lagi perpisahan antara kami..
Dan maafkanlah diriku wahai sahabat, serta iringilah pemergianku dan hidupku yang mendatang dengan doamu..


Credit: Google Images


Sekian.

HFB
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments