Malam Itu


Malam itu adalah suatu malam yang mengubah diriku. Suatu malam yang pasti Allah akan mengampunkan dosa-dosa yang lalu. Tahun ini adalah tahun pertama Aku berazam untuk memulakan perubahan. Aku nak berubah menjadi individu yang hidup bertuhan dan beragama. Dari awal Ramadhan lagi Aku berusaha untuk pecutan 10 malam terakhir Ramadhan. Ingin meraih redha dan membina taqwa yang baru.
Aku hambanya yang lalai. Malam ini adalah malam ke 27 Ramadhan, adakah ini malamnya? Sebelum tidur Aku telah berniat untuk bangun bersahur lebih awal. Andai Allah mengkehendaki sesuatu yang baik untuk diriku pasti Aku akan bangun esok. Seperti biasa Aku akan set alarm handfone tetapi set lebih awal.
"Harap Aku dapat bangun esok pukul 4 pagi".
Sebelum tidur Aku muhasabah diri sambil mengenang kemanisan yang dirasai sepanjang Ramadhan. Beriftar di masjid,makan di dalam dulang suatu nikmat kebersamaan. Pada awalnya agak kekok sebab tidak pernah makan didalam dulang, dulu Aku beranggapan orang miskin sahaja makan macam ini sebab tidak cukup duit maka mereka berkongsi makan. Hakikatnya, ia melatih untuk sama-sama merasai nikmat Ramadhan seperti mereka yang susah.
Teringat saat pertama kali mengikuti program menyampaikan sumbangan kepada golongan susah. Menyantuni mereka bersama-sama dengan sahabatku. Entah kenapa ada rasa syukur terbit dalam hati yang dulu pernah mati. Menitik air mata yang dulunya ego untuk mengalir untuk orang lain. Selama ini Aku bagai hidup didunia sendiri, kononnya berada dalam kelas atasan. Realitinya Aku miskin jiwa, Aku miskin harta kerana apa yang kita sedekahkan itulah milik kita yang sebenar. Aku tidak memiliki apa-apa selama ini.
Tertidur Aku dalam keadaan hati yang menginsafi diri yang dizalimi diri sendiri. Berat mata ini untuk bangun, luar biasa mengantuk tetapi Aku gagahkan diri untuk bangun dan bertahajud. Aku renggangkan badan agar dapat kekalkan tekad untuk mengadu rindu pada yang Esa. Sungguhnya Aku terlalu rindu. Ramadhan ini, Aku telah melatih diri untuk berqiamulail seminggu dua kali. Alhamdulillah berjaya dan Aku merasai suatu kuasa meresap dalam diri. Keyakinan insan berdosa yang damba cinta Tuhan walau pernah lupa akan diriNYA.
"Allahu Akbar", takbir tahajudku.
Dalam takbir bergema, bergetar bibir dan seluruh jasad apabila teringat betapa Maha Berkuasa diriNYA. Sebening pagi yang dingin, salju mencengkam segenap tubuh yang menyesali kesilapan lalu. Dalam berdiri Aku mengadu, dalam sujud Aku merintih akan episod-episod duka. Teringat  niat semalam, "Andai Allah mengkehendaki sesuatu yang baik untuk diriku, Aku pasti akan bangun untuk bertahajud hari ini". Ya Allah yang Maha mendengar bisik hati yang rindu padamu. Meruntun sayu dan hiba di hati.
"Ihdinassiratolmustaqim (Tunjukilah kami jalan yang lurus)"
Esak tangisan antara diriku dan Tuhan. Kebenaran di depan mata, kewujudanmu kurasai di dalam hati. Aku akui dan akur bahawa Aku hanya insan kerdil yang hina. Siapalah Aku dimatamu? Usai salam tajahud, Aku terdiam sambil menangis serta hati terus berbisik zikruallah. Di kegelapan 2/3 malam, bersaksi panorama alam Aku mengaku "Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah". Terhambur empangan air mata dan terbit damai dihati. Aku menadah tangan dan bermunajat keampunan,
"Allahumma innaka afuwwun tuhibbul afwa fa'afuanii (Ya Allah sesungguhnya Engkau maha pengampun dan sentiasa memberi keampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah kesalahan hambamu)"
Doa ini bagai satu magis yang membuat Aku berterusan menangis. Sesungguhnya Aku bersangka baik dengan perancanganmu, "Better late than never". Baru sekarang Aku sedar bahawa cintaNYA adalah cinta luar biasa yang tiada tandingan cinta sesama manusia. Jadikanlah Aku seorang Pemuda yang mengoncang dunia dengan akhlak yang baik.  Aku ingin menjadi musafir yang sentiasa menyampaikan cintamu dan ajaran agamamu. Selimutkan diriku dengan kekuatanmu. Aku hanya mengharap redha dan keampunanmu. Tarik dalam hati ini kecintaan dunia yang menjauhkan Aku denganmu.  Kurniamu ibarat buih di lautan semisal berjuta bintang di angkasa raya.
"Betul ke semalam lailatulqadar? Aku tengok alam menunjukkan tanda-tandanya pagi tadi, soalku.
"Macam iye jugak. Ramai yang kata semalam lailatulqadar. Tetapi Roy, tidak perlu memfokuskan tanda lailatulqadar pada alam sejagat ni. Tanda kita bertemu dengan Al-Qadr adalah perubahan dalam hati selepas keluar dari madrasah tarbiyah Ramadhan. Samaada amal kita semakin baik atau sebaliknya. Kita sendiri menilainya. Aku tahu kau telah berusaha yang terbaik untuk mendapatkan malam itu," bicaranya dengan penuh hikmah sambil meletakkan tapak tangannya ke dada ku tepat ke hati.
Sentuhan fizikal itu juga sentuhan hati. Terima kasih sahabat kerana telah tunjukkan jalan kebenaran kepada Aku. Betul katanya, malam ini adalah malam ke 28 Ramadhan maka sisa Ramadhan yang masih ada akan ku terus memburu redha dan keampunan Allah. Adakah Aku akan bertemunya lagi?Adakah lagi kesempatan untukku? Ramadhan ini memang satu permulaan dan fasa peralihan seorang hamba untuk meningkatkan taqwa. Inilah kisah Aku dan Ramadhan, setiap momennya adalah paling manis buatku.
Ana Khadijah
Aktivis Ikram Siswa UTM
Belia Harmoni Johor Bharu Tengah

Comments