Mahasiswa Cakna Isu Semasa





MAHASISWA PERLU TURUT SERTA MEMBANTU DALAM MENANGANI 
ISU KOS SARA HIDUP MAHASISWA LAIN


Credit photo : Jangan stress dulu, jom baca ni.

Saya kira sebenarnya ramai sahaja mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk menampung kos sara hidup. Cumanya akhir-akhir ini bertambah pula kes seperti ini di dada akhbar. Sebagai salah seorang mahasiswa, saya turut bersimpati dan sangat terkesan dengan apa yang telah berlaku kerana apabila kita berada dalam kelompok mahasiswa itu sendiri, seharusnya kita lebih merasa empati bukan hanya simpati. 

Ada yang melontarkan pandangan negatif tentang perkara ini bahawasanya mahasiswa malas bekerja dan tidak tahu berdiri atas kaki sendiri, ada juga memberikan pandangan positif tentang isu ini. Walaubagaimanapun, pandangan-pandangan ini perlu kita ambil sebagai satu respon yang baik bahawa orang sekeliling sedang cakna pada isu mahasiswa hari ini.


Kadang-kadang faktor mahasiswa kurang berkemampuan ini boleh terjadi atas faktor keluarga sendiri. Anak sulung dalam keluarga yang miskin dan perlu tanggung perbelanjaan keluarga setiap bulan. Maka, mahasiswa menjadi mangsa terhadap kelemahan ekonomi negara. Sememangnya terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan mahasiswa yang kurang berkemampuan. Tidak semestinya mereka seperti ini tidak bekerja malah barangkali duit gaji itu disalurkan dan diberi keutamaan kepada keluarga. Sebelum kita menghembur kata-kata yang tidak baik kepada mereka, adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu mengkaji pucuk pangkal permasalahannya.


Hal ini juga berkemungkinan tinggi kesan daripada faktor ekonomi negara yang kurang menentu sejak akhir-akhir ini. Mana tidaknya, paras kejatuhan nilai mata wang negara ringgit Malaysia dengan nilai dolar Amerika sangat jauh bezanya berbanding beberapa tahun yang lalu. Ini adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian dan bersama-sama kita membantu memulihkan keadaan.


Maka , inisiatif kerajaan agar mahasiswa melaksanakan kerja “part-time”adalah salah satu inisiatif baik tetapi di samping itu ,ianya bukanlah bererti pihak berwajib perlu melepaskan tangan dalam hal ini dan seterusnya meletakkan ianya adalah keputusan muktamad. Perlu adanya langkah susulan agar mahasiswa tidak meletakkan alasan lambat ke kelas atau tidak sempat menyiapkan tugasan subjek atas alasan sibuk bekerja.

Selain inisiatif kerajaan , mahasiswa yang berkemampuan juga perlu merasa untuk membantu sahabat mereka yang kurang berkemampuan ini. Saya sangat berbesar hati dan sukacita terhadap sesetengah mahasiswa yang telah mengambil inisiatif mewujudkan konsep seperti “Happy Meal Initiative” dalam membantu mahasiswa yang kurang kemampuan untuk membeli makanan. Hal ini bukan sahaja satu tuntutan yang baik ,malah ianya membentuk diri mahasiswa untuk menjadi insan yang tidak berkira-kira dalam memberi dan sentiasa mahu lakukan kebaikan kepada orang lain. Inilah yang kita mahu wujudkan dalam setiap diri mahasiswa.



Antara usaha murni yang telah dilaksanakan oleh sesetengah mahasiswa
by The Awesome Community 

Tambahan pula, inisiatif yang pernah dilaksanakan oleh sebuah universiti awam sendiri seperti wujudnya Skim Bantuan Pelajar Miskin merupakan antara inisiatif yang baik dan dapat mengurangkan beban sahabat kita yang kekurangan keperluan semasa dan makanan khususnya.

Oleh itu, dalam menangani fenomena ini, saya yakin semua pihak perlu saling berganding bahu dalam melaksanakan perubahan yang lebih baik. Tambahan pula dalam fasa keadaan ekonomi kita yang tidak menentu ini. Supaya pada akhirnya kita mampu mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat kampus sendiri.

Aktivis IKRAM Siswa UTM,
Saudari Zainursyazwana  Zakaria

Comments