KERANA HATIMU SEINDAH PERMATA


Bismillahirrahmanirrahim..

Hari Valentine baru sahaja disambut beberapa hari yang lalu, hari di mana ramai manusia yang belum muslim meraikan ‘cinta’. Dalam tulisan ini, saya bukan mahu memfokuskan pada Hari Valentine, tetapi saya lebih ingin memfokuskan terhadap rasa cinta itu sendiri kerana ia menjadi topik hangat pada musim sebegini dan topik ini juga bersesuaian dengan semua orang. Applies to all. Namun mungkin ia akan dikupas lebih dari sudut pandang seorang perempuan, maka insya-Allah yang perempuan, akhawat, muslimat, sisters, dan semoga ini bermanfaat buat kita.

Credit photo


Allah s.w.t telah menjadikan hati kita mudah lembut dan cair dengan apa-apa yang berkaitan dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Bila kita nampak kucing comel yang seperti minta dikasihani, mudah saja kita melayani kucing itu. Bila kita nampak bayi comel ingin didukung, mudah saja kita mahu mendukung dan membelainya. Bila kita nampak kawan kita bersedih, mudah saja kita mahu menemani dan membantunya. Itulah perempuan. Kenapa perempuan mudah sangat lembut hati ya? Tidak dapat dinafikan, jawapannya ialah kerana secara fitrahnya kita pasti akan terasa ingin diberi perhatian, didengari, dikasihi dan dicintai. Se-sado mana pun kita nampak, se-berdikari mana pun, setiap perempuan sentiasa mahu dirinya dihargai.

Kerana rasa ingin dihargai, dikasihi dan dicintai, juga ada sifat mudah mengasihi dan menyayangi, ramai perempuan yang tewas dengan rasa cinta. Apabila mencintai, cintanya itu terlalu berlebihan mengatasi segalanya. Apatah lagi sekarang banyak drama dan novel cinta seolah-olah menggambarkan bahawa percintaan sesama manusia itu sangat sempurna. Bahawa jika dua insan saling mencintai, mereka akan sentiasa mampu saling bertahan dengan kelemahan masing-masing, sentiasa akan ber-sweet, sentiasa akan bahagia. Walhal pada realitinya, ia tidak akan sentiasa begitu. Kerana fantasinya terlalu tinggi dan diletakkan sebagai ‘expectation’ dalam percintaan di alam realiti, maka ramailah yang kecewa dan akhirnya putus cinta.

Wahai saudariku, my sisters, akhawati,
Rasa cinta itu fitrah. Ia akan hadir juga walaupun kita cuba menafikan sekuat-kuatnya. Oleh itu, tidak perlulah kita kuat menolaknya. Sebaliknya, kita cuba terima dan kawal perasaan itu. Cara kita mengendalikan rasa cinta itulah yang terpenting. Sebagai perempuan yang banyak diuji dengan perasaan cinta, saya dulu banyak membaca artikel dan buku-buku islamik yang banyak mengandungi nasihat tentang cinta (tapi baca sorang-sorang je sebab malu, hilang macho). Bila diteliti, akhirnya kesemua nasihat-nasihat itu pun akan berkisar kepada perkara yang sama: Utamakan cinta kepada Allah s.w.t terlebih dahulu. InsyaAllah selepas itu kita akan mampu mengawal rasa cinta kita kepada yang lain.

Apabila hati kita telah terisi dengan cinta kepada Allah s.w.t, hati kita juga akan tertarik untuk mencintai apa-apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah s.w.t. Hati kita akan cenderung ke arah kebaikan, dan hati kita akan cenderung untuk menuruti syari’at yang Allah tetapkan. Kerana itu orang yang baik akan suka bersahabat dengan orang yang baik-baik juga. Kerana itu lelaki yang soleh akan menyukai perempuan solehah dan sebaliknya.

Apabila hati kita telah terisi dengan cinta kepada Allah s.w.t. juga, kita akan sentiasa yakin bahawa apa sahaja yang Allah takdirkan buat kita adalah yang terbaik. Kita juga akan selalu bergantung kepada-Nya dan lebih selalu berharap kepada-Nya. Dengan itu, akan berkuranglah keterikatan rasa cinta kita dengan manusia dan segala unsur duniawi yang lain. Kita tidak akan mudah berharap akan cinta manusia, kita tidak akan terlalu bergantung kepada manusia kerana kita tahu, Allah s.w.t sahaja sudah cukup untuk kita.

“Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? …”
[Az-Zumar, 39: 36]


Wahai saudariku, my sisters, akhawati,
Kerana hati kita begitu berharga, siapkanlah ruang di hati kita untuk cinta yang paling istimewa dan sempurna. Isilah hati kita dengan cinta kepada Allah s.w.t sehingga tiada ruang untuk cinta lain yang melalaikan itu berkuasa di hati. Kita tidak akan mampu menghilangkan rasa cinta kepada manusia, tetapi kita mampu menambahkan rasa cinta kita kepada Allah s.w.t. Kita yang berkuasa untuk menentukan cinta mana yang akan menguasai hati.

Bagaimana mahu mencintai Allah?

1.       Kenali Allah – kenali nama-nama-Nya, baca kehebatan, keagungan dan kasih sayang-Nya, pelajari Al-Qur’an
2.       Bercerita tentang Allah – ceritakan kehebatan dan kebaikan-Nya kepada orang lain. Paling berkesan kalau cerita dengan orang yang rapat dan kalau cerita itu mengenai kebaikan Allah terhadap diri kita sendiri.
3.       Berhubung dengan Allah – solat, doa dan baca Al-Qur’an.

Nombor iiga itu paling penting. Asas hubungan yang baik ialah komunikasi yang baik. Hmm Bila dilihat semula, ketiga-tiga cara tu sama saja dengan cara kita boleh bertambah suka kepada seseorang. Sudah pernah buat ketiga-tiga cara tu dan bertambah suka dan sayang pada seseorang manusia? Maka ayuhlah kita buat ketiga-tiga cara itu pula untuk lebih mencintai Allah s.w.t.

Wahai saudariku, my sisters, akhawati,
Bila kita mencintai Allah s.w.t, rasa cinta itulah yang akan menjadi benteng yang menguatkan keimanan kita. Ada hikmah mengapa Allah s.w.t menetapkan syariat dan garis panduan untuk kita ikuti. Semuanya untuk menjaga diri kita daripada keburukan yang lebih besar. Ada hikmah mengapa Allah menyuruh kita menjauhi zina. Ia untuk menjaga keharmonian hubungan sesama manusia dan kesucian susur galur keluarga. Ada hikmah mengapa Allah menyuruh kita mengingatinya dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w untuk selalu ingat kepada-Nya. Ia untuk mengelakkan kita daripada perasaan kecewa yang berlebihan terhadap ketidaksempurnaan makhluk terutamanya manusia. Akhirnya, segalanya akan kembali kepada-Nya.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
[Ar-Ra’d, 13: 29]


Kesimpulannya, ayuhlah kita berusaha untuk mengisi hati kita dengan cinta kepada Allah s.w.t. Mungkin di hati anda sekarang ada cinta lain sedang menguasai seperti cinta ‘boyfriend’, cinta hiburan korea, cinta duit, cinta anak dan lain-lain. Tetapi belum terlambat untuk kita menambahkan rasa cinta kepada Allah s.w.t. untuk memastikan cinta itu lebih bermaharajalela di hati. Allah berfirman di dalam hadith Qudsi:

“Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari (cepat).” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Allah s.w.t. sentiasa ada untuk kita. Maka jom kita berusaha untuk mencintainya. Kerana hati kita begitu berharga, seindah permata.


Aliya Khair
Ketua Siswi ISUTM

Comments