PERSIAPKAN DIRIMU DUHAI SYABAB !


Bismillahirrahmanirrahim….

‘Jadilah engkau di dunia seolah orang yang asing atau musafir yang singgah di jalanan.’

Itulah pesanan junjungan Rasulullah SAW buat Abdullah bin Umar ketika baginda berjumpa dengannya sambil menyentuh lembut bahu beliau yang ketika itu berusia belasan tahun. Di usia ini , pemuda pada zaman Rasulullah SAW tidak dilihat seperti kanak-kanak bahkan mereka juga diberikan hak untuk memberi pandangan dan menyuarakan pendapat mereka. Lalu , perhatikan perbezaan didikan dan pendedahan yang diterapkan dalam diri anak-anak pada usia seperti itu di zaman Rasulullah SAW dan zaman sekarang.

Credit photo

Pemuda (baca : berjiwa muda) adalah mereka yang memiliki tubuh badan yang kuat dan minda yang jernih. Dengan tarbiyyah yang tepat, sudah pasti mereka dapat menggoncang dunia dengan tangan mereka. Ya , tanpa tarbiyyah yang benar kita hanya bakal menghasilkan pemuda yang berfikiran sempit seperti seorang anak kecil. Maka ,setiap dari kita haruslah mempunyai pemikiran yang luas tentang bagaimana didikan serta bimbingan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak mengikut saluran yang ditetapkan dalam agama Islam. Namun, sebelum itu wajib untuk kita terlebih dahulu menjadi pemuda yang hebat sebelum melahirkan insan berjiwa Rabbani seperti Sultan Ahmad Al Fateh , pintar seperti Imam Malik ,berfikiran merdeka seperti Umair bin Abu Waqas, setegas dan sekuat Umar Al Khattab juga sememangnya mewarisi akhlak seperti Rasulullah SAW.

Saidina Ali RA dengan tegas pernah mengatakan ,

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Sedarkah kita wahai pemuda bahawa saat ini adalah fasa yang paling berharga di mana kitalah jantung negara. Dukacitanya, pemuda Islam sekarang hidup dengan tidak benar-benar ‘hidup’, bahkan telah ‘mati’ sebelum mati. Buktinya, masih ramai yang hanya tahu menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang lagha, jauh dari tujuan asalnya mereka hidup. Mari kita renungkan bersama, apakah gambaran masa depan negara kita Malaysia ? Apakah yang sedang pemuda pemudi kita kejarkan ? Tepuk dada tanya iman.

Untuk memimpin dan mentadbir sesebuah negara bukanlah suatu kerja yang mudah dan remeh. Justeru ,persiapan yang serba lengkap dalam diri setiap individu sangat perlu dititik beratkan bak kata Hasan al-Hudaybi , ‘Tegakkan Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di sekeliling kamu.’ Sejarah Islam pun turut membuktikan fakta ini.  Oleh itu duhai pemuda ,kembalilah kepada Al Quran dan As Sunnah seperti yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW untuk umat baginda dan jadilah muslim yang sebenar-benarnya muslim sebagaimana zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Jangan kita jadikan ayat-ayat Allah SWT hanya sebagai hiasan dalam kaca-kaca kabinet dan tatapan semata dengan hati yang buta. Penuhi dada dengan senjata ilmu seperti kita mengisi air di dalam botol sehingga penuh.

Mengutip kata-kata Mohd Raswan, Pengerusi Tarbiah IKRAM Wilayah Persekutuan, ‘Pengurusan diri dalam pelbagai aspek seperti tarbiyyah diri, pengurusan masa, kewangan dan pembelajaran adalah perkara asas yang paling utama sebelum mengurus keluarga dan halaqah serta wasilah tarbiyyah yang lain’. Mustahil untuk kita mencapai negara rahmah dan mentadbir dunia andai setiap individu sedia gagal memimpin diri mereka sendiri. Dan begitulah Allah SWT mempersiapkan Rasulullah SAW dengan satu demi satu ujian sejak lahir yang akhirnya menguatkan baginda sebelum diangkat menjadi guru agong dan ikon untuk umat sehingga kiamat.

‘Find your strength’. Setiap orang lebih-lebih lagi dalam kalangan pemuda ,kita diberi kelebihan dan kekurangan oleh Yang Maha Adil, Allah SWT. Ada orang yang hebat dalam hubungan interpersonal, ada pula yang berani dalam memimpin orang lain. Ada yang mampu menjana idea yang sangat baik. Ada pula orang yang sangat handal dalam berkarya dan ada juga yang diberi kuat ingatannya. Bezanya, bagaimana kita mengurus dan menggunakan kekuatan yang dimiliki itu sebagai sumber pahala dan menyumbang sesuatu untuk agama. Menjadi sia-sialah jika kekuatan yang ada tidak digilap dengan sebaiknya dan lebih merugikan jika ianya tidak dimanfaatkan dan menjadi punca kepada dosa-dosa kita.

Pun begitu ,manusia biasa tetap ada turun naiknya, pasang surutnya. Selagi digelar manusia biasa , kita tidak akan pernah lari daripada melakukan kesilapan. Lainnya kita di sisi Allah SWT adalah bilamana setiap perbuatan dosa dibersihkan dengan taubat kepada Nya dan disertai dengan amal kebaikan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW, sebagaimana dinyatakan oleh Anas bin Malik ra pernah bersabda, bahwa Allah SWT telah berfirman, 

Hai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah sesuai dengan apa yang kamu panjatkan dan harapkan kepada Diri-Ku. Aku mengampuni kamu atas dosa-dosa yang telah kamu lakukan dan Aku rela. Hai anak Adam, andai dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, lalu kamu memohon ampunan-Ku, pasti Aku mengampuni kamu. Hai anak Adam, sesungguhnya kamu, andai kamu mendatangi Aku dengan memikul dosa-dosa sepenuh bumi, kemudian kamu menjumpai Aku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan apapun, pasti Aku akan mendatangi kamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (HR at-Tirmidzi, hadis hasan-shahih).

Berkesinambungan di awal cerita , apakah jawapan pemuda bernama Abdullah bin Umar selepas mendengar pesanan Rasulullah SAW kepada beliau ?

Beliau berkata , “Jika engkau berada di waktu petang, janganlah menunggu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi, janganlah menunggu petang.”(HR al-Bukhari no.6416)

Kata-kata yang terlontar dari bibir Abdullah pada usia itu cukup membuktikan kematangan dalam berfikir serta jelasnya kefahaman beliau terhadap islam. Diharapkan agar bimbingan dan didikan daripada orang yang hebat mampu melahirkan peribadi yang jauh lebih hebat di masa akan datang. Ibu bapa yang hebat bakal melahirkan anak yang hebat. Pelajar yang hebat bakal terdidik daripada guru yang hebat. Sesiapapun, bersama-sama memainkan peranan sebagai abid dan khalifah sehingga Islam kembali tertegak di atas muka bumi Allah SWT ini. Pemuda, ayuh bangkitlah !

Wallahua’alam.

Izzati Zakaria
#AktivisIKRAMSiswaUTM


Comments