Taujihat Hati di Kala Iman Menyepi






Assalamualaikum wbt.
Buat ikhwah dan akhawat fillah, 
Alhamdulillah atas nikmat dan kehendakNya, seramai 17 orang yang dipilih Allah mewakili IKRAM SISWA UTM telah berjaya menghadiri Perkampungan IKRAM Siswa Nasional (PERNAIS) yang telah diadakan di sebuah masjid berdekatan KLIA. PERNAIS ini telah diadakan pada 30 dan 31 Januari 2016 yang lepas. Seramai 17 orang legasi IKRAM SISWA UTM telah memulakan perjalanan sehari sebelum program PERNAIS bermula. 
Namun, perjalanan yang awal ini tidak dipersiakan. Dengan takdir dan aturan yang Esa, legasi IKRAM SISWA UTM ini telah diberikan peluang menziarahi seorang tokoh IKRAM, iaitu Akh Amirasyid Bin Densibali di rumahnya berdekatan Nilai Impian. Tarikh 29 Januari 2016 (Jumaat) merupakan tarikh yang bersejarah dan diingati oleh legasi ini. 
Legasi ini telah dijamukan dengan makan malam oleh tuan rumah. Selepas perut diisi, kami diberikan taujihat bagi mengisi rohani dan pembakar semangat meneruskan perjuangan di bumi UTM, sanjungan bangsa. Sesi perkongsian ini walaupun bersahaja, namun begitu terkesan di hati sanubari setiap dari kami. 

Wakil IKRAM Siswa UTM
Ikhwah akhawat yang sentiasa dirahmati dan disayangi Allah,
Ingin kami berkongsi kata-kata dan taujihat yang diberikan oleh tokoh ini.
Pertamanya pesan akhi yang dimuliakan oleh Allah ini, sebagai seorang hamba yang berstatus manusia pasti ada masa iman kita naik, ada masanya ia turun.Namun, perjuangan ini perlu diteruskan.Kita perlu mengasihani dan mengambil ikhtibar pada mereka yang telah meninggalkan perjuangan ini. Semoga Allah memanggil mereka kembali menyelusuri jalan yang panjang dan penuh cabaran ini. Kerana disebabkan jalan inilah, kita semakin menghampiri Tuhan, semakin kenal siapa sebenarnya diri kita dan seterusnya kita sentiasa berada di dalam perlindunganNya. Moga-moga insya Allah.
Keduanya, pesan tokoh di Nilai Impian ini, dari teori hinggalah ke medan sebenar sememangnya sentiasa menguji keimanan. Di antara kesabaran atau berpaling dari jalanNya, itulah pilihan kita. Persoalan ini harus kita perjelaskan dan harus kita tempuhi.
Ketiganya, sememangnya masa dan pengalaman belajar di IPT haruslah kita penuhi dan menghayatinya. Perlu pandai menyusun masa dan strategi sendiri, akan ada masa untuk menuntut ilmu agama dan berusaha memperbaiki diri. Kebanyakkan mahasiswa sentiasa ‘busy’ dengan belajar, dan tiada masa langsung untuk memenuhi keperluan rohani. Peluang ini lah harus kita gunakan untuk membaiki diri agar menjadi lebih baik dari masa ke semasa.
Seterusnya, beliau berpesan agar jangan pernah kita lari dari perjuangan kerana ianya adalah salah satunya cara untuk kita bertemu Tuhan. Tiada perjuangan hidup, hiduplah sebagai apa-apa pun, pasti sentiasa kecewa dan tidak capai kebahagiaan hakiki dan manisnya iman di hati.
Beliau juga menyampaikan azimat bahawa kadang kita sibuk membina manusia sana sini. Tapi bila tiada impaknya, kita meraung mencari salah siapa. Sebenarnya kesalahan itu pada diri sendiri. Tatkala kita menyeru manusia lain beriman kepada Allah, kita terlupa tentang diri. Kalau kita sering futur berkali-kali, apalagi mad’u kita nanti. 
Seringkali manusia menyimpang jauh dari jalan yang pernah dia selusuri adalah kerana lenyapnya matlamat hidup untuk berjumpa Maha Pencipta satu hari nanti. Kita merasa seperti segala yang ada di dunia ini perlu dikejar padahal kita lupa ianya hanyalah satu keperluan untuk teruskan kehidupan. Sedangkan akhirat itu destinasi impian yang sebenarnya.Orang yang sentiasa ingat perjanjiannya dengan Tuhan pasti tidak sekali-kali mengkhianatiNya. Kerana hatinya sentiasa hidup dan tidak mati.
Bagaimana mahu menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin hari semakin menekan? Selagi mana kita ingat akan matlamat asal kita di dunia ini, campaklah ke mana sahaja, pasti akan Berjaya dunia dan akhirat kerana hanya redhaNya yang mahu kita capai. Selalunya yang tersasar jauh sedikit demi sedikit ini hanyalah kerana menganggap apa sahaja yang ada di dunia ini satu matlamat padahal ianya hanya keperluan hidup.
Beliau berpesan lagi, di antara mahu meneruskan DnT di IPT atau di tempat kerja atau persekitaran baru, mana yang wajar diberi perhatian? Ini adalah bergantung kepada kekuatan yang kita mampu berikan kepada dakwah ini. Jika kita rasa kita lebih kuat jika berada di IPT dengan harapan dapat membantu perjalanan DnT kita lebih melaju, silakan. Tetapi jika merasakan tempat lain mampu membuatnya lebih kuat dari sebelumnya, maka adalah baik juga jika berhijrah ke tempat baru itu.
Pesanan beliau yang terakhirnya, masalah kekurangan pelapisan selalu sahaja menjadi titik tolak kepada lemahnya dakwah di sesebuah kampus. Apa yang perlu dilakukan adalah murabbi itu sendiri yang harus memperbaiki dirinya dengan lebih baik lagi kerana mendidik mad’u itu sendiri bergantung juga kepada murabbi. Bayangkan jika murabbi hanya rating 5/10, jarang sekali dapat melahirkan mad’u yang berating 9/10 dan ke atas. Mungkin sahaja mad’u itu sebenarnya hanya 2/10. Boleh jadi sebegitu.
Pertempuan singkat ini, memberikan kesan dalam sanubari kami.Taujihat ini inshaAllah akan kami sematkan didalam hati. Taujihat ini sememangnya adalah bekal yang berharga buat kami meneruskan perjuangan ini.
Ikhwah dan akhawat fillah, 
Kami mohon mendoakan kami agar terus kuat,semangat dan istiqamah dalam perjuangan ini. Kami mohon kemaafan di atas segala kesilapan kami dalam memegang tampuk pimpinan ISUTM ini pada sesi yang lepas dan akan datang.
Ayuh ikhwah dan akhawat sekalian!
Bersedia memacu perubahan.

#AktivisIKRAMSiswaUTM

Comments