Keadilan Milik Kita
Credit photo |
Acapkali di media massa terpapar permasalahan mengenai isu-isu
ekonomi, politik dan sosial di negara ini. Adakah kita perlu mengambil tahu
justeru cakna dengan masalah yang timbul ini? Atau tugas kita hanyalah belajar
di universiti tanpa menghiraukan permasalahan yang ada?
Tidak mengapa. Kita masih
mampu berpangku tangan kerana masih belum merasai tempiasnya. Sementara waktu
yang tersisa ini, saya ingin mengajak semua sahabat untuk bersama-sama
menyelusuri sedikit penghayatan mengenai keadilan sosial yang saban hari
semakin kabur.
Keadilan adalah sesuatu yang
dituntut dalam Islam. Jika keadilan ini tidak dipelihara dengan baik, maka akan
berlakulah kekacauaan dalam negara dan seterusnya menjadikan rakyat
berpecah-belah serta porak-peranda.
Allah sendiri berfirman dengan
jelas di dalam al-Quran, Surah al-A’raf ayat ke-29 :
Katakanlah: ‘ Tuhanku
menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu)
hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali
mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu
kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada
mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).’
Malah, diperkukuhkan lagi
dengan ayat al-Quran yang lain, yakni
firman Allah dalam
ayat 135, Surah an-Nisa' yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman!
Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi
menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap
diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum-kerabat kamu.’
Ayat di atas menjelaskan
kepada kita bahawa penguasaan keadilan ini tidak terbatas kepada sesetengah
golongan sahaja, bahkan sebenarnya untuk segenap masyarakat yang ada tidak kira
berlatar belakang apa sekalipun. Alangkah indahnya aturan Allah sebagai manual
kehidupan kita.
Kebanyakan perkara seharian
kita seringkali berkaitan rapat dengan keadilan sosial sebenarnya. Apakah yang
dimaksudkan dengan keadilan sosial ini?
Ia adalah berkaitan dengan
hak-hak setiap dari kita bermula dari sudut ekonomi, politik, kebebasan
bersuara dan sebagainya. Inilah yang diberi penekanan dalam keadilan sosial
ini. Logiknya, setiap dari kita wajar mendapat hak masing-masing tapi pada masa
yang sama kita juga ada hak-hak lain yang perlu dipertanggungjawabkan untuk
menggapai keadilan sosial yang paling baik. Inilah elemen asas yang perlu kita
fahami sebelum bertindak ke arah memacu perubahan lanskap yang baru.
Jika perkara asas di atas
disalah ertikan oleh kita, maka tidak hairanlah mengapa sehingga kini kita
masih kurang berjaya mengecapi kecemerlangan dalam membina sebuah negara
rahmah.
Sebagai sebuah negara yang
kian maju di persada dunia, keadilan sosial tidak wajar dipandang enteng oleh
setiap dari kita. Contohnya ialah pemimpin bertanggungjawab berusaha
bersungguh-sungguh untuk memenuhi hak-hak rakyat yang selayaknya. Manakala,
rakyat pula menunaikan hak yang sepatutnya kepada pihak pemerintah. Jika
pelaksanaan tanggungjawab ini tidak berlaku dalam keadaan dua hala, maka
perkara buruk akan terjadi. Rakyat akan mula memberontak sedikit demi sedikit.
Dan golongan pemerintah juga semakin hari akan terus menekan rakyat. Dan inilah
realiti yang berlaku sekarang kesan dari kegagalan keadilan sosial.
Jika kita lihat dari konteks
kehidupan masyarakat biasa pula, di antara si miskin dan si kaya, apakah kes
yang kian meruncing dan mendapat perhatian masyarakat? Permasalahan ekonomi dan
sosial bukan? Contohnya adalah kes-kes ragut, kecurian, rompakan( tidak kira
terang-terangan atau sembunyi) serta banyak lagi. Si kaya yang merasakan
dirinya berkuasa seringkali mengambil kesempatan kepada si miskin yang hidup
dalam keadaan melarat. Sepatutnya si kaya itu sedar, bahawasanya hak si miskin
ada di dalam kekayaan itu kerana bagaimana seseorang itu menjadi kaya adalah di
atas pertolongan, bantuan serta khidmat si miskin tadi. Apabila perkara yang
dituntut Tuhan tidak kita amalkan, maka golongan bawah akan tidak menghormati
golongan atasan lagi.
Walhal, pada zaman dahulu di
dalam sejarah Islam, sebuah kisah yang tersohor seringkali diletakkan sebagai
panduan dan teladan, iaitu kisah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab yang
banyak memberi bantuan kepada wanita-wanita yang tiada keluarga terdekat.
Seringkali baginda sendiri yang turun padang melihat bagaimana keadaan
rakyatnya. Kezuhudan baginda Umar al-Khattab ini wajar dicontohi oleh setiap
pemimpin masa kini.
Usaha murni ini telah pun
diaplikasikan dalam pemerintahan sekarang. Tetapi entah mengapa, masih ada hak
rakyat yang masih tidak terbela. Mungkinkah berlaku ketirisan dalam kewangan
atau kurangnya dedikasi para pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat
kerja? Ayuh, refleksi diri kita. Kerana kita juga sebahagian dari kelompok
seperti di atas ini.
Negara Malaysia telah
menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Jadi, saya menyeru diri saya serta
pembaca semua untuk melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu diambil
tindakan kerana keadilan perlu ditegakkan untuk meneracu ke arah sebuah negara
rahmah.
Miss Azha
Aktivis IKRAM Siswa UTM
Comments
Post a Comment