Mr Obes


Credit photo
Obesiti atau lebih ekstrem lagi dikenali sebagai ‘kegemukan yang melampau’ adalah salah satu masalah yang serius berlaku di negara kita dan mungkin menjadi isu yang agak ‘panas’ jika dibincangkan bersama. Terbaru, statistik mencatatkan sebanyak 54% daripada golongan dewasa mengalami obesiti. Rujuk ( http://www.hmetro.com.my/node/40179 ).

Cantiknya lumrah manusia yang Allah SWT ciptakan, kita suka dilihat cantik dan indah oleh mata-mata yang memandang. Bonus jika dipuji. Sehingga terkadang lupa cantiknya rupa paras bukan ukuran untuk kita menebus redha Ilahi.

Sering , mereka yang berada dalam kelompok obesiti (berdasarkan ujian BMI) mengalami masalah kemurungan dan kurang keyakinan diri dek kerana tidak mempunyai bentuk badan seperti yang diidamkan atau tidak menjadi tatapan sejagat.

Namun, menjadi tanda tanya bila wujud spesis makhluk ‘obesiti’ yang bahagia hidupnya dan langsung tidak menghiraukan pandangan masyarakat terhadap dirinya. Kerana mereka bukan obesiti disebabkan pemakanan yang tidak terancang, tapi ‘obesiti’nya mereka  kerana pahala yang melambung banyaknyas. :D

Kehidupan mereka diwarnai dengan keikhlasan. Ibadatnya manis bagaikan madu dalam beribadat kepada Allah. Hari-hari mereka dihiasi dengan syahdu mengharapkan keampunan dari Yang Maha Esa. Indahnya lagi, bila setiap detik mereka dipenuhi dengan zikir kepadaNya. Juga tidak pernah lekang di bibir mereka istighfar dan bertahmid memuji dan menyampaikan rindu kepada Sang Pencipta. Tujuan mereka hanya satu , tamakan  kepada pahala dan cintakan syurgaNya.

Firman Allah SWT :

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah ;148)

“Berlumba-lumbalah untuk mendapatkan keampunan Tuhan kalian di samping syurga yang luasnya seluas petala langit dan bumi. Syurga tersebut disediakan untuk orang yang bertakwa dan menginfakkan harta mereka dalam keadaan senang dan susah." (Ali Imran : 133-134)

Lalu, memang benarlah, hidup ini suatu perlumbaan. Perlumbaan yang panjang.
Allah menyuruh kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Berlumba-lumba juga bagi mendapatkan keampunanNya.

Perlu kita jelas akan makna kalimat “…berlomba-lomba lah dalam kebaikan…” iaitu apabila melihat orang lain berbuat kebaikan, maka kita seharusnya berbuat dengan lebih baik daripada itu, tanpa harus melukai dan merugikan orang lain.

Berbeza maknanya jika Allah menggunakan kata ‘bertandinglah’ kerana kalimat tersebut menggambarkan pasti akan ada yang kalah dan menang. Kita boleh menggunakan apa cara sekalipun untuk meraih  kemenangan serta membiarkan pihak lain jatuh. Bukan begitu.
Kerna syurga Allah luas untuk kita semua.

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang sentiasa  ‘obesiti dengan pahala’. Mana tidaknya, setiap satu perbuatan Rasulullah SAW diikuti sekalipun sekecil-kecil amalan. Misalnya, Abu Bakr As Siddiq, beliau pernah bertanyakan Saidatina Aisyah (setelah kewafatan Rasulullah SAW) tentang apakah amalan yang Rasulullah pernah buat yang beliau tidak lagi buat.

Sikap ini lah yang ditakrifkan sebagai berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sentiasa tanamkan dalam diri untuk menjadi lebih baik setiap masa ,biarlah kita menjadi yang pertama melakukan kebaikan tersebut.

Jika orang melayan kita dengan baik, biar kita melayan mereka berganda-ganda baiknya.

Jika orang lain tidak lekang dengan buku, biar kita sentiasa bersama buku apatahlagi dengan Al Quran.

Jika orang lain solat fardhu penuh lima waktu, biar kita solat diawal waktu ditambah dengan solat sunat.

Jika orang sibuk mengejar ilmu dunia, biar kita seimbang ilmu dunia dan akhirat.

Jika orang lain mendapat keputusan peperiksaan yang baik , biar keputusan kita yang terbaik juga menjadi kebanggaan ibu bapa.

Oleh itu sahabat, ikhwah akhwat, ayuhlah kita berlumba lumba untuk membuat kebajikan tidak kira siapapun kita. Setiap amalan baik yang dilakukan, sekalipun kepada makhluk lain yang hidup di muka bumi ini pastinya akan dinilai Allah. Pasti !

Dan ketahuilah bahawa kemenangan yang hakiki adalah ketika Allah SWT meredhai kita sebagai hambaNya. Dah tu ,jom jadi obes ! Obes dengan pahala . :D
Allahualam…

Izzati Zakaria

Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments