Syurga vs Pisang Goreng




      


     Bayangkan diri kau berada di tengah-tengah lautan dunia. Semua sibuk. Ada yang berlari-lari mengejar teksi untuk ke tempat kerja. Ada yang sibuk bergayut dengan telefon untuk menyelesaikan masalah dunia. Ada juga yang tekun membaca sebab hari ini ada peperiksaan besar. Semua yang kau lihat tadi semua dari latar yang berbeza. Seorang pekerja yang sudah lewat ke tempat kerja. Seorang majikan yang sedang sibuk menguruskan saham dan tidak dilupa seorang pelajar yang meletak harapan setinggi gunung untuk berjaya dalam peperiksaan kali ini. Apa yang mereka lakukan sekarang adalah mereka sedang mencuba sedaya upaya untuk medapatkan sesuatu. Lihat sahaja pekerja tadi, sanggup berlari bermandi peluh untuk mengejar teksi. Lihat juga majikan tadi sanggup berpanas telinga untuk mempastikan dia tidak rugi dalam sahamnya dan lihat juga pelajar tadi sambil menunggu bas sanggup membaca buku untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaannya. Mereka semua melakukan sesuatu untuk memperoleh kebahagian yang diingini. Bukan mereka sahaja tapi kita. Kita juga sanggup buat apa sahaja untuk dapat apa yang kita inginkan. Tapi sanggupkah kita buat apa sahaja untuk memperoleh syurga? Sanggupkah kita melakar sedikit usaha untuk tinggal di syurga yang selamanya? Kalau kita nak buat perbandingan nikmat dunia dan indah syurga, tidak setimpal langsung dunia dengan syurga. Kalau kata orang zaman sekarang tidak sama darjatnya. Tapi kenapa kita masih berlumba ke arah dunia dan meninggalkan indah syurga di belakang kita?

Credit photo

  Untuk memperoleh sesuatu kita perlu membuat sesuatu. Ibarat peribahasa manakan bergoyang pokok kalau tiada angin yang menggoncang. Andai sahaja kita teringin untuk makan pisang goreng. Logikkah untuk kita duduk bergoyang kaki menunggu pisang goreng jatuh ke riba. Kalau ikut akal memang tiada logika tapi andai sahaja kita mempunyai kuasa magis, situasi tadi tidakklah mustahil. Tapi sekarang kita berbicara tentang hukum logik seorang manusia. Secara logiknya, seorang manusia perlu ke gerai dan mengeluarkan sedikit duit untuk membeli pisang goreng. Seorang manusia perlu ada usaha untuk membeli pisang goreng tersebut. Dengan usaha manusia dapat menikmati keenakan pisang goreng dan secara tidak langsung kehendak hati dapat dipenuhi.

     Tapi nikmat yang hakiki bukan nikmat pisang goreng tetapi nikmat syurgawi. Tak teringinkah kau untuk menjadi penghuni syurga? Semua orang pasti ada keinginan untuk ke syurga. Kalau pisang goreng sudah mengegar jiwa inikan pula syurga. Tapi kalau tadi nak beli pisang goreng kena berusaha, jadinya nak ke syurga kena berusaha ke?

‘Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata di sisi Allah orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang sabar’
Ali-‘Imran : 142

     Kalau kita baca bersama tafsir di atas, ianya seakan-akan satu perlian dan sindiran. Ibarat macam kau ada ujian esok tapi kau tak ulangkaji langsung selepas itu kawan baik kau kata “Kau ingat kau boleh lulus ujian esok, belajar pun tidak.” Sambil kawan kau menayang senyuman sindiran melihat kau dari atas ke bawah. Sama macam kita sekarang. Kita bersungguh nak syurga. Siap cakap dengan semua yang kita nak jumpa mereka kat syurga. Walhal, mereka itu lebih usahanya nak ke syurga, kita?

       Syurga ni lebih dari segalanya. Syurga lebih dari dunia. Jadi nak masuk ke syurga, tiket bukan percuma kena ada bayarannya. Masuk muzium pun perlu ada tiket, inikan pula syurga. Bayarannya usaha. Sekaya mana pun seorang manusia itu, kalau tiada usaha nak ke syurga sia-sia sahaja duit berjuta di bank.  Kita kalau boleh tak nak menjadi orang yang beruntung  pada kehidupan dunia yang sia-sia tapi, hidup yang tiada akhirnya di akhirat, kita pula rugi. Perniagaan yang berjaya bilamana kau untung dua-dua. Nikmat syurga itu infiniti, dunia ni singgahan berhenti tepi. Takkan kita nak bina mahligai pasang jubin dan kabinet berpuluh ribu di singgahan berhenti tepi sebab ianya hanya singgahan. Membazir duit di singgahan selepas itu tak cukup duit nak teruskan perjalanan ke syurga infiniti.

       Konklusinya, semua orang mahu syurga. Semua orang ingin hidup selamanya di syurga. Kita tahu adanya syurga dan neraka serta adanya dosa dan pahala. Tetapi perkataan tahu tidak cukup menjadi bahan api pembakar semanagat untuk terus berbuat pahala menuju syurga. Kita perlu tahu dan yakin. Andai sahaja kita yakin, penuh saf di masjid. Andai sahaja kita yakin, rancangan televisyen sarat dengan pengisian agama. Andai sahaja kita yakin, negara kita aman sentosa. Oleh yang demikian, mulakanlah langkah pertamamu. Hayunkan tangan, cipta momentum agar dengan itu kau terus bergerak maju ke hadapan. Usaha itu perlu, tetapi bermula dengan kamu.

‘Tegakkanlah islam dalam dirimu, nescaya islam tertegak di muka bumimu’
-Hassan alHudhaibi


     Perjalanan ini jauh lagi. Andai kau berhenti, kau antara yang rugi. Mungkin sesaat selepas kau berhenti, Islam menjadi pusat rujukan. Kejarlah syurga ibarat kau sanggup beratur panjang membeli pisang goreng. Kalau kau mampu bersabar beratur kerana sebungkus pisang goreng, sabarlah sebentar kerana Islam lebih dari itu.


Am 
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments