Keadilan Dalam Islam
Credit photo |
Bagaimana pula
kata Islam tentang konsep KEADILAN?
Adil menurut
Bahasa Arab disebut dengan kata ‘adilun, yang berarti sama dengan seimbang.
Menurut Al Ghazali adil adalah keseimbangan antara sesuatu yang lebih dan yang
kurang. Manakala, menurut Ibnu Miskawaih keadilan adalah memberikan sesuatu
yang semestinya kepada orang yang berhak terhadap sesuatu itu.
Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi
kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan
permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil
pengajaran”. (QS An-Nahl [16]: 90)
Allah berfirman dalam Al-Quran: “Hai
orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakkan
(kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah
sekali-sekali kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat
tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu
kerjakan”. (Al-Maidah [5]: 8)
Nas-nas di atas menunjukkan bahawa
penegakkan keadilan merupakan gagasan atau pillar
penting dalam ajaran Islam. Sebaliknya, al-Quran mengecam orang-orang yang
berlaku zalim. Menurut Thabathaba’iy, hampir dua pertiga surah dalam al-Quran
membicarakan masalah-masalah tentang kezaliman. Dalam hadis pun tidak
terhintung kecaman yang dialamatkan kepada orang yang berbuat zalim.
Rasulullah SAW
bersabda:
“Takutlah
berbuat zalim kerana sesungguhnya ia mendatangkan kegelapan-kegelapan di hari
Kiamat.” (HR. Muslim)
Berbanding dengan konsep keadilan
dari kaca mata ahli falsafah barat, konsep keadilan yang dibawa dalam Islam
bersifat lebih syumul, yakni lengkap dan menyeluruh. Keadilan dalam Islam bukan
sekadar melihat kepada hasil akhir sesuatu perbuatan mahupun hanya melihat pada
tanggungjwab atau tugasan pada ketika itu.
Pengertian tentang hakikat Keadilian
dalam Islam sekurang-kurangnya terbahagi tiga yang utama; Adil dalam Erti Sama
(al-Musawat), Adil dalam Erti Keseimbangan (at-Tawazun) dan Adil dalam pengertian
“Perhatian Terhadap Hak-Hak Individu dan Memberikan Hak-Hak Itu kepada Setiap
Pemiliknya.”
1. Adil dalam 'Erti Sama' bermaksud tindakan
atau perlakuan yang sama atau tidak membeza-bezakan antara satu dengan yang
lain; mencakupi persamaan hak perlindungan atas kekerasan, kesempatan dalam
mendapatkan pendidikan, peluang dalam mendapatkan kekuasaan, memperoleh pendapatan
dan juga peluang dalam mendapatkan kemakmuran dan keamanan. Selain itu,
persamaan dalam hak, yakni kedudukan dalam kadilan mahkamah tanpa mengira warna
kulit, kelompok, kedudukan/jabatan, kerabat, kaya atau miskin, orang yang
disukai atau dibenci hatta terhadap musuh sekalipun.
“Apabila kamu memutuskan perkara di antara
manusia, maka hendaklah engkau memutuskannya dengan adil.” (QS. An-Nisa [4]:
58).
Allah SWT
memerintahkan kepada kita agar berlaku adil, sekalipun terhadapa komuniti atau
golongan non- muslim ataupun kaum yang kita musuhi, sebagaimana dalam
firman-Nya:
“Hai
orang-orang yang beriman, hendaklah kami menjadi orang-orang yang selalu
menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah
sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku
tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa,
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan.” (Qs. Al Maidah: 8)
2.
Adil dalam 'Erti Keseimbangan', keseimbangan di sini
bukan sekadar bermaksud seimbang dari segi quantitative, tetapi lebih kepada
proporsional dan profesional. Di sini, keadilan lebih identiti kepada maksud
kesesuaian, dan bukannya lawan kepada kata kezaliman, yakni kesesuaian antara
ukuran, kadar dan waktu. Ia ditetapkan apabila keadaan memang mengkehendaki
sedemikian. Adil dalam pengertian ini merupakan hakikat yang penting dalam
keadilan. Namun, janganlah diambil secara literal, contohnya pembahagian harta
atau duit kepada semua rakyat mestilah sama rata. Yang paling penting adalah
peluang atau kesempatan diberikan kepada semua rakyat dengan jumlah yang sama
rata, dan hasil perolehannya masih tertakluk kepada usaha masing-masing. (soal
perbahagian harta oleh kerajaan kepada rakyat kita sembang di makalah yang
lain.)
Termasuk dalam pembicaraan ini adalah keseimbangan
antara pembangunan material dan spiritual, keseimbangan antara zikir dan fikir,
dan bersederhana dalam menggunaan harta, yakni tidak terlalu kikir dan juga
tidak terlalu boros. Insan yang berjaya menyeimbangkan antara fikir dan zikir
tersebut sebagai orang-orang yang berakal sebagaimana disebutkan oleh Allah di
dalam Al-Quran seperti berikut:
“Sesungguhnya
dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang
terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang
mengingat Allah sambal berdiri atau duduk dalam keadaan berbaring dan mereka
memikrikan tentang penciptaan langit dan bumi” (Qs. Ali Imran: 190-191)
Lihat sahaja tentang bagaimana al-Quran
membeza-bezakan hak waris dan persaksian antara lelaki dan perempuan.
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.
3.
Adil dalam pengertian “Perhatian Terhadap Hak-Hak
Individu dan Memberikan Hak-Hak Itu kepada Setiap Pemiliknya” pula
didefinasikan dengan “meletakkan sesuatu pada tempatnya” (wadh al-syai’fi
mahallihi) atau memberikan pihak lain haknya melalui jalan yang terdekat”.
Lawan kepada definasi ini pula adalah “kezaliman” iaitu menempatkan sesuatu
tidak pada tempatnya (wadh’ al-syai’fi ghairi mahallihi). Contohnya paling
mudah adalah, apabila kita memakai sepatu atau selipar ‘crocs’ di kaki, maka
itulah namanya keadilan tetapi apabila kita memakai ‘crocs’ tersebut di atas
kepala maka itulah kezaliman yang nyata. Pengertian keadilan seperti ini,
melahirkan keadilan sosial (akan dibincangkan di makalah seterusnya) di mana
setiap muslim terutamanya pemimpinnya wajib menegakkannya.
Setiap makhluk yang bergelar manusia sudah tentu
mempunyai hak untuk memiliki atau melakukan sesuatu, kerana itu hak-hak
tersebut mestilah diberikan perhatian dan dilindungi serta dipenuhi
sebaik-baiknya. Hak-hak manusia seperti hak untuk hidup, hak untuk memiliki
sesuatu, hak untuk belajar, berkerja, mendapatkan ubat, kelayakan hidup dan hak
untuk mendapatkan jaminan keselamtan dan keamanan. Kesemua itu harus diberikan
kesempatan yang sama kepada setiap orang.
Kerana itu, dalam Islam seseorang tidak dibernarkan
sama sekali untuk melakukan pembunuhan tanpa sebab dan alasan yang benar-benar
kukuh kerana perbuatan tersebut telah merampas hak untuk hidup orang lain.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan
Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar dan barangsiapa
dibunuh secara zalim, Maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasan kepada ahli
warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampui batas dalam membunuh.
Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.” (Qs. Al-Isra/17: 33)
Islam juga melarang sekerasnya untuk memakan harta
orang lain seperi mencuri, menipu dan sebagainya, hal ini demikian kerana
perbuatan tersebut bererti mengambil hak-hak orang lain. Begitu juga dengan
perampasan hak orang lain seperti pengurangan dalam timbangan. Sama juga dalam
konteks kekeluargaan, lelaki yang ingin berkahwin lebih dari satu mestilah
berlaku adil terhadap isteri-isterinya, kalau tidak mampu, cukuplah hanya
seorang. Serta ibu bapa dituntut untuk berlaku adil terhadap anak-anak mereka.
Akhir sekali,
kedamaian di dunia ini hanya bisa tertegak dengan al-Quran dan telah mewajibkan
seluruh umat manusia untuk berbuat keadilan dan mengharamkan sebarang jenis
kezaliman yang sewenang-wenangnya. Maka dengan al-Quran manusia akan menjauhi
tindakan-tindakan kezaliman kerana rasa takutnya kepada murka Allah di dunia
dan di akhirat, di samping untuk mengharapkan balasan atau ganjaran dunia
akhirat.
“Hai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan
(kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil.” (Qs. Al-Maidah: 8)
Khalas.
Muhammad Ameruddin Che Ibrahim
Aktivis IKRAM Siswa UTM
Aktivis IKRAM Siswa UTM
Comments
Post a Comment