Ramadhan Pergi...

Credit: Google Images



3 am.

"Sunyinya malam ni.."
"Lailatul Qadr kot?"
"Mungkin. Kejap lagi boleh lah solat sunat sekejap."

Aku bermonolog sendirian di ruangan kerja, terasa tenang dah sunyi.

Aku kembali fokus kepada komputer ribaku,
Menulis 'thesis' yang tak siap-siap.
Tiba-tiba mencurah-curah pula idea malam ini.

Alhamdulillah, siap satu bahagian!
Alamak 5 minit lagi nak imsak.

Cepat-cepat aku capai apa yang ada berhampiran ruangan kerjaku..
Selesai sahur dengan 3 biji kurma dan segelas air, aku terus meluru ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu'.

Keluar saja dari tandas, azan subuh pun berkumandang.

Allah! Tak sempat aku nak solat sunat lagi hari ini.

Sudah berhari-hari aku begini.

Apa sebenarnya nilai Lailatul Qadr pada aku sedangkan aku sedar ia lebih baik daripada 1000 bulan.

Setiap hari tidur lambat,
Tulis 'thesis' sampai 5 minit lagi nak imsak,
Keluar saja tandas dah subuh,
Lepas subuh tidur,
Vroom terlajak sampai zuhur.
Allah..

23 Ramadhan dah berlalu,
Aku ni puasa tahan lapar dahaga sahajakah?
Lapar pun tak terasa mana kalau dah Zuhur baru buka mata.

Mana semangat aku menanti-nanti Ramadhan 2 3 bulan yang lalu.

Jatuh airmataku, terasa panas pipiku mengenang pantas sungguh luntur semangatku.

Usai solat zuhur, aku capai Al-Quran yang aku tinggalkan 3 hari yang lalu,
dek kerana kesibukan aku dengan projek tahun akhir ini.

Satu persatu aku belek, mencari semula halaman yang aku tinggalkan..

Laju mata aku tertangkap satu ayat dalam Surah Al-Baqarah, halaman 28.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertaqwa” (QS. Al Baqarah: 183)

"agar kamu bertaqwa
"agar kamu bertaqwa
"agar kamu bertaqwa


Allah nak aku capai Taqwa! Itu tujuan berpuasa di bulan Ramadhan yang sebenarnya.

Sepanjang 23 hari aku berpuasa,
Pada aras mana tahapan Taqwa aku hari ini.

Adakah aku sudah berpuas hati dengan usaha aku untuk mencapai Taqwa selama 23 hari ini.

Tiba-tiba aku panik.. Ramadhan semakin hampir kepada penghujung.
Tapi aku masih di sini, begini. Tiada kemajuan.
Tidak terasa semakin hampir pun aku kepada Dia.
Ada peluang lagikah aku untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan?

Lamunanku terhenti, telefon bimbitku berdering. Gambar Mak terpampang pada skrin telefon bimbitku.

"Assalamualaikum kakak. Buat apa tu? Sihat ke? Mak dah khatam harini Alhamdulillah. Kakak juzuk berapa dah?"

"Waalaikumussalam Mak. Alhamdulillah sihat. Kakak boleh la tengah baca lagi, sibuk sikit 2 3 hari ni tak sempat sentuh Al-Quran Mak."

"Kakak tak boleh macam tu. Dalam sehari Kakak wajib sentuh Al-Quran walaupun baca 1 ayat. Al-Quran ni sebenarnya penawar 'stress' dan cara kita nak Allah berinteraksi dengan kita. Projek tahun akhir tu penting Kakak, tapi Ramadhan ni belum tentu kita jumpa lagi. Buatlah sehabis baik, Allah dah sedia macam-macam peluang untuk kita berlatih jadi lebih baik, Masa kita tak pernah cukup Kakak, tapi kan Allah yang bagi kita masa. Yakinlah Allah akan cukupkan masa kita kalau kita berusaha cari masa untuk Dia,"

"InsyaAllah Mak. Kakak faham."

"Ok. Mak doakan Kakak dipermudahkan urusan dan diberi keberkatan masa. Mak nak keluar sekejap ya. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam Mak."

Terdiam aku sejenak. Walaupun mak dah melewati usia senja, semangat dia sentiasa membakar menikmati setiap detik Ramadhan.

Ramadhan akan tetap pergi.. Meninggalkan aku, kau dan kita.


Tanya diri sudah puaskah kita setakat ini saja?

Kalau belum, kenapa berhenti?

Lari lagi... Allah tunggu dan setiasa tunggu kita.


Dan pada akhirnya pengampunan Allah itu yang kita impikan pada setiap penghujung malam..


"Rugi bagi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya." (HR Ahmad)


Sampai pada halaman yang dicari!

"Bismillahirrahmanirrahim......"

Aku berazam untuk tidak berhenti di sini, dan mahu pecut lebih laju.

Anda bagaimana? :)



Ditulis oleh:
Maziah Munirah binti Man Sort
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Comments